Mad Zaidi Mohd Karli, melawat Kampung Orang Asli, Berasau di Kluang, Johor hari ini.

KLUANG – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan menyediakan bekalan elektrik melalui sistem solar dan membina Pusat Komuniti di Kampung Orang Asli Berasau yang akan memberikan manfaat kepada 70 orang penghuni atau 20 buah keluarga dengan sokongan SEDA Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Ketua Setiausaha Petra, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dalam sesi lawatannya ke kampung tersebut berkata, ia adalah menjadi tanggungjawab kementerian dalam memastikan rakyat mendapat bekalan elektrik yang asas kerana ia merupakan keperluan penting untuk kehidupan seharian.

Pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan sosial utama ini adalah di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani yang diperkenalkandalam Belanjawan 2024.

Program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan standard perkhidmatan asas seperti air, elektrik, dan kemudahan masyarakat melalui pendekatan Whole of Government.

Pelaksanaan inisiatif ini juga telah melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan antaranya Jakoa Johor, Pusat Jakoa Daerah Kluang, Pejabat Pembangunan Negeri Johor, KKDW Johor, Bahagian Perancang Ekonomi Johor, Pejabat Daerah Kluang, Pejabat Tanah Kluang, dan Pejabat Hutan Johor Tengah.

Petra telah mengenal pasti keperluan utama penduduk Kampung Orang Asli Berasau, termasuk penyediaan kemudahan bekalan elektrik melalui sistem solar dan pembinaan Pusat Komuniti yang berkonsepkan building integrated photovoltaic system.

Pusat tersebut akan menjadi tempat utama untuk aktiviti dan perhimpunan masyarakat.

Selain daripada projek-projek infrastruktur ini, Petra juga bercadang untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk kampung, bagi mengeratkan hubungan antara kementerian dan penduduk setempat. – MalaysiaGazette