JOHOR BAHRU – Seorang remaja ditemukan lemas dalam tasik berhampiran loji Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Jalan Denai 12, Kempas, di sini, semalam.
Mayat remaja lelaki berusia 14 tahun itu ditemui pada pukul 7.35 malam selepas lebih sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Yazid Abdul Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6 petang semalam.
“Susulan itu seramai sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi yang turut dihadiri Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Taufiq Atan.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa lemas dalam sebuah tasik.
“PKO bertindak membuat pencarian dengan kaedah pencarian permukaan menggunakan ‘grapling iron’ sebelum mangsa dijumpai pukul 7.35 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pihak yang hadir dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau menambah, operasi ditamatkan pada pukul 8.10 malam tadi.- MalaysiaGazette