Seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza diterbangkan dari Mesir pada khamis dengan menggunakan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Usaha membawa 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia membuktikan negara ini tidak pernah melupakan saudara seagama di negara tersebut yang ditimpa kesulitan angkara rejim zionis.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, Malaysia secara konsisten sejak dahulu lagi memperjuangkan inisiatif membantu Palestin menerusi pelbagai pendekatan dan menunjukkan sokongan kepada pembebasan negara tersebut.

“Ia juga melambangkan sebuah keberanian kerana negara ini menjadi yang pertama di Asia untuk berbuat demikian. Untuk melaksanakan usaha membawa seramai 40 pesakit dari sebuah negara asing tentunya bukan mudah namun atas kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia berjaya direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hasanuddin, pada masa yang sama, ia juga membuktikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbukti melaksanakan sebuah misi yang bukan mudah.

“Terbang selama 16 jam membawa 40 pesakit sudah tentu
memerlukan perancangan amat rapi, kepakaran dan kemahiran tinggi ATM khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mesir yang membantu dan memudahkan urusan membawa warga Palestin.

YADIM berharap usaha ini tidak dipolitikkan oleh sesiapa sahaja. Tidak ada asasnya hendak memainkan isu ini daripada sebarang aspek dan pandangan.

Sebaliknya, inisiatif itu seharusnya disokong oleh semua pihak dan sama-sama menyumbang idea dan usaha bagaimana untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin dan membebaskan mereka daripada penjajahan. – MalaysiaGazette