Pelepasan peserta 10 kilometer PJ Half Marathon.

KUALA LUMPUR – Petaling Jaya sekali lagi menjadi tumpuan penggemar sukan larian apabila 8,000 orang peserta dari 39 buah negara menyertai PJ Half Marathon 2024 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), awal pagi tadi.

Penganjuran kejohanan larian edisi yang ke-34 ini menyaksikan peningkatan yang ketara dengan lebih 250 peserta luar negara telah mendaftar dengan jumlah penyertaan paling ramai adalah dari India iaitu 35 orang, diikuti dengan Jepun (28), Singapura (21) dan United Kingdom (18).

Peningkatan ini membuktikan bahawa prestij acara PJ Half Marathon 2024 semakin meningkat serta mampu menarik lebih ramai pelari antarabangsa.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan pada edisi kali ini iaitu larian 30 kilometer (km) Terbuka, 21km Terbuka, 10km Terbuka, 5km Fun Run serta 1km Fun Run bertemakan Anime yang juga acara baru diperkenalkan
pada tahun ini.

Kejohanan larian ini akan bermula pada jam 3.40 pagi dengan sesi aerobik dan pelepasan flag-off peserta pertama bagi kategori 30km disempurnakan oleh Mohamad Zahri bin Hj. Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya.

Pihak Polis Daerah Petaling Jaya akan membuat kawalan trafik secara berperingkat bermula pukul 4 pagi di jalan-jalan yang terlibat.

Seramai 100 orang anggota polis trafik serta 80 orang pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ditugaskan untuk mengawal lalu lintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan PJ Half Marathon untuk semuasama ada peserta mahupun orang awam. – MalaysiaGazette