Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyifatkan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri membawa seribu satu makna.

Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, kekuatan UMNO adalah orang Melayu Bumiputera dan populasi Nenggiri yang hampir 95% Melayu Bumiputera menjadi satu indikator bahawa UMNO masih lagi di hati setiap orang Melayu.

Menurutnya, sebelum ini pengundi Melayu mungkin sayang tetapi tidak percaya kepada UMNO dan membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan dan beralih arah kepada parti selain UMNO untuk memberi isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan dalam UMNO.

Mereka merasakan UMNO perlu berubah dahulu baru kepercayaan mereka akan kembali terhadap UMNO.

“Berubah dari gaya politik dan pemikiran yang tidak lagi relevan di hati rakyat. Rakyat mahukan pemimpin yang berkhidmat dan berani membawa suara mereka bukan pemimpin yang hanya bergelar yang berhormat tetapi hanya memikirkan tentang kepentingan diri sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Akmal mengakui bukan mudah untuk melakukan perubahan, tetapi UMNO telah melakukannya di Nenggiri dan alhamdulilah rakyat menerima dan kembali mempercayai parti keramat ini.

Namun, ujar beliau, kepercayaan ini bukanlah bersifat kekal kerana jika UMNO lalai, maka sudah pasti parti ini akan dihukum kembali oleh rakyat.

“Terima kasih kepada pimpinan tertinggi UMNO kerana mempercayai barisan pemuda UMNO untuk menerajui perubahan ini.

“Bukan mudah kerana pelbagai dugaan dihadapi oleh kami dari peringkat awal, tetapi kami percaya jika kita ikhlas demi agama bangsa dan negara,Allah akan bantu perjuangan ini,” tambahnya yang berikrar bahawa Pemuda UMNO kekal konsisten membawa suara rakyat tanpa rasa takut dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya.

Ia kerana, Pemuda UMNO percaya bahawa parti ini wajib menjadi platform utama untuk menyatupadukan Melayu Islam di negara seperti di peringkat awal penubuhan UMNO dahulu kerana itulah yang dimahukan oleh semua rakyat, menurutnya lagi. – MalaysiaGazette