Lebih 100 ahli UMNO Bahagian Pekan hadir di perkarangan IPD Pekan bagi menzahirkan solidariti mempertahankan intitusi diraja di negeri ini

PEKAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa memainkan isu agama, raja, kaum (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, baru-baru ini.

Ketua Bahagian UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, isu 3R tidak sewajarnya diheret mana-mana pemimpin termasuk dalam ceramah pilihan raya.

“Sebagai seorang bekas pimpinan tertinggi negara, kenyataan seumpama ini adalah sangat tidak wajar dizahirkan oleh beliau.

“Malah, beliau yang berpengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran, sepatutnya menunjukkan peribadi yang berhemah tinggi dan bersikap professional apabila turun berkempen di mana-mana kawasan Pilihan Raya,’’ katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas membuat laporan polis berhubung ceramah bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, hari ini.

Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

Pada perjumpaan itu lebih 100 ahli UMNO hadir memberi sokongan sebagai tanda solidariti mempertahankan institusi diraja termasuk dihadiri Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

Fakhruddin berkata, tindakan mempersenda 3R yang menjejaskan kredibiliti institusi diraja akan memakan diri ahli politik itu sendiri.

Tambahnya, UMNO Pekan telah membuat laporan polis bagi menuntut supaya perbuatan Muhyiddin itu disiasat dan dikenakan tindakan dalam memastikan perkara kedua dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sentiasa terpelihara dengan sebaiknya. – MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN :

Muhyiddin tak patut heret Al-Sultan Abdullah untuk raih undi – Wan Rosdy

Tolong hormat raja saya – Tunku Azizah

Kepercayaan rakyat Kelantan kembali kepada BN – Wan Rosdy