Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun disahkan meinggal dunia di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang semalam lebih kurang jam 3.27 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir, pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka, bibir, paha, dagu dan lutut pada mayat kanak-kanak berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa telah disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh.

Susulan kematian itu, polis menahan pasangan suami isteri di Pangsapuri Sandalwood Court, Bandar Tasik Puteri pada hari yang sama pada jam 9 malam.

“Lelaki warga tempatan berumur 29 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan dan isterinya 28 tahun bekerja sebagai pembuat aiskrim telah ditahan reman hari ini sehingga Sabtu depan,” tambahnya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital tersebut untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan.

Noor Ariffin berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Dalam pada itu, Noor Ariffin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mohd Hamizan Mohamad Yunus di talian 013-8348384 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222. – MalaysiaGazette