KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas sememangnya tidak boleh menerima kekalahan teruk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kata Datuk Mohd Razlan Rafii.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kekalahan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rizwadi jelas menunjukkan pengundi kawasan itu membuat referendum terhadap kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas yang didakwa zalim dan menrompak hasil tanah mereka.
“Rakyat tak ada tanah, tanah kamu beri kepada tauke-tauke Cina, itu semua depan mata mereka, ladang musang king dan sawit dan macam-macam tanaman lagi.
“Waktu berkempen, tauke-tauke ini boleh ikut sekali pemimpin Pas, jangan ingat rakyat Kelantan buta.
“Kezaliman 34 tahun pemerintan Pas sudah cukup membuka mata rakyat Nenggeri. Ini adalah permulaan kebangkitan Orang Melayu membantah kezaliman pemimpin Pas kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Razlan membuat kenyataan itu bagi mengulas dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bahawa kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri disebabkan salah guna agensi kerajaan.
Awal hari ini, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, beliau melihat sendiri suasana agensi-agensi kerajaan sepertimana Felcra, Kesedar di bawah Kerajaan Pusat digunakan tanpa segan dan malu oleh parti kerajaan.
Justeru itu, Mohd Razlan berkata, Idris tidak seharusnya menuding jari kepada kemenangan BN malah perlu muhasabah diri melihat kepada kecurangan kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.
“Elok Naib Presiden Pas ni tengok suasana kehidupan rakyat Kelantan.
“Terutama di Nenggiri, bagaimana mereka makan, bagaimana mereka tidur bagaimana mereka bekerja, daif dan teramat,” katanya.
Malam tadi, BN berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri selepas calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti besar 3,352 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi untuk menewaskan pencabarnya calon PN Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi.
Kerusi DUN Nenggiri dipertanding mulai 2004 dan telah melalui lima pilihan raya sebelum ini, yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi oleh BN manakala kali terakhir oleh wakil PN, Mohd Azizi Abu Naim.
Pilihan Raya Negeri Kelantan ke-15 pada tahun lepas menyaksikan Mohd Azizi, yang bertanding menggunakan logo Pas, menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.
Kerusi DUN itu bagaimanapun diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas Mohd Azizi digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan peratusan keluar mengundi 73.88 peratus daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar, jauh mengatasi jangkaan awal Suruhanjaya Pilihan Raya sebanyak 60 peratus dan peratusan semasa Pilihan Raya Negeri pada Ogos tahun lepas yang hanya mencapai 61.09 peratus.
Dengan kemenangan Mohd Azmawi Fikri, Kerajaan Perpaduan kini mempunyai tiga wakil dalam DUN Kelantan termasuk ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim daripada BN dan ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim daripada Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette