Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kemenangan Mohd Asmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN) 9,112 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam membuktikan kepercayaan rakyat kepada BN kian meningkat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, signal itu juga dizahirkan apabila BN kembali merampas kerusi DUN itu dengan majoriti besar kepada BN  sebanyak 3,372.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil N.43 DUN Nenggiri.

“Sudah pastinya kemenangan ini bukan sahaja memperlihatkan BN berjaya merampas kerusi ini, tetapi apa yang penting adalah kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional telah kembali meningkat terutamanya di Kelantan.

“Syabas dan tahniah kepada saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani kerana telah memenangi PRK DUN Nenggiri dan terima kasih juga kepada para pengundi kerana telah memilih dan memberi kepercayaan kepada Awie untuk mewakili dan membawa suara mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Menteri Besar Pahang itu juga mengucapkan syabas dan tahniah juga kepada semua jentera Barisan Nasional yang telah berhempas pulas selama dua minggu.

Artikel berkaitan: Awie menitiskan air mata gembira, BN sudah rai kemenangan PRK Nenggiri

Bukan mudah tapi UMNO telah buktikan di Nenggiri – Akmal

Menurutnya, kemenangan tersebut adalah hasil daripada usaha bersama, dedikasi, dan komitmen berterusan semua pihak.

Wan Rosdy berharap wakil rakyat baharu itu dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin untuk membela nasib serta memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat di DUN Nenggiri.

Pada PRK Nenggiri semalam, 17 Pusat Dun Mengundi (PDN) dimenangi BN menerusi calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, manakala tiga PDM dimenangi PAS oleh Mohd Rizwadi Ismail daripada keseluruhan 20 PDM.

PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon Perikatan Nasional (PN).

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – MalaysiaGazette