Superintendan Ashari Abu Samah

ALOR GAJAH – Tular kejadian seorang lelaki yang dikatakan menjadi ‘mangsa’ penculikan di Kuala Sungai Baru di sini sebenarnya berpunca daripada tindakannya melanggan pelacur di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata,
mangsa dipercayai telah dibawa lari oleh dua orang lelaki dari Kuala Lumpur ke negeri ini selepas dikatakan tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran tambahan kepada pelacur berkenaan.

Menurutnya, mangsa turut didakwa telah dipukul oleh suspek sebelum dikurung di dalam sebuah rumah di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru.

“Saya difahamkan, pada awalnya mangsa sudah janji untuk bayar sekitar RM500 tetapi setelah mereka melakukan hubungan seks, tiba-tiba dua suspek lelaki masuk ke dalam bilik meminta sebanyak RM1,000 untuk dibayar kepada wanita terbabit.

“Mangsa bagaimanapun tidak mempunyai wang sebanyak itu  dipukul oleh suspek namun kita tidak dapat dipastikan sama ada ketika itu mangsa pengsan atau sebaliknya sebab mabuk sebelum dibawa ke Melaka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri semalam selepas seorang lelaki yang mengawasinya tertidur.

“Selepas berjaya melarikan diri, mangsa meminta bantuan penduduk kampung sehingga kejadian itu tular hari ini.

“Kita bagaimanapun masih menunggu laporan penuh kerana kes ini disiasat oleh kontinjen di Kuala Lumpur dan mangsa juga telah membuat laporan di sana,”katanya.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut pasukan polis di premis terbabit turut menjumpai dadah jenis ganja dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast