Antara ahli Umno yang menyertai sesi raptai bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ketika di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan berlangsung pada Rabu ini dijangka lebih meriah selepas Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan semalam.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, bahang kemenangan itu akan dirasai dengan menyamarakkan lagi semangat dalam kalangan ahli-ahli parti itu.

“Saya jangkakan tahun ini lebih meriah  apatah lagi BN baru menang di PRK DUN Nenggiri semalam.

“Pasti ramai ahli UMNO yang akan bersemangat untuk hadir melihat sendiri PAU pada tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Sumali berkata demikian selepas meninjau raptai bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Semalam, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan memenangi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri selepas menewaskan calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Mohd Azmawi Fikri menang dengan 9,091 undi manakala pencabarnya, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi sekali gus menyaksikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan itu menang dengan majoriti 3,352 undi.

PAU2024 akan bermula Rabu ini dengan taklimat Presiden  UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada jam 3 petang di Dewan Merdeka, WTCKL dan diikuti perasmian pergerakan tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan pada sebelah malamnya.

“Khamis akan bermula persidangan wanita, pemuda dan puteri di 3 dewan berbeza bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Pada malamnya mesyuarat Khas MKT UMNO berlangsung untuk melihat sekiranya ada perkembangan atau usul semasa persidangan sayap akan dibawa ke mesyuarat MKT pada malam itu,” tambah Mohd Sumali.

Acara kemuncak adalah pada Jumaat dengan ucapan Dasar Presiden UMNO dan perbahasan daripada perwakilan-perwakilan negeri.

Hari terakhir iaitu pada Sabtu diteruskan dengan penggulungan bermula daripada Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan ucapan penggulungan Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Noraini Ahmad.

Ia diikuti dengan penggulungan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ahmad, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Hasan.

PAU2024 kemudiannya diakhiri dengan ucapan penggulungan Presiden UMNO yang dijadual jam 5.30 petang.

Datuk Mohd Sumali Reduan bercakap kepada media selepas selesai sesi raptai bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ketika di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2024.

Mengulas lanjut, Mohd Sumali berkata sejumlah 6,500 para perwakilan dari semua 191 bahagian akan hadir.

“Sejumlah 3,000 daripada perwakilan PAU dan 1,100 masing-‘masing daripadanya adalah perwakilan wanita, pemuda dan puteri,” katanya lagi.

Ditanya samada ada wakil-wakil daripada kerajaan dijemput, Mohd Sumali berkata tidak jemputan diberikan tahun ini.

“Tidak cukup ruang, kita tidak jemput pada tahun ini kerana kita pernah jemput pada tahun pertama selepas PRU15 dan kita lebih mengutamakan kepada ahli parti tapi komponen BN antaranya MCA dan MIC memang kita jemput.

“Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijemput? Tidak setakat ini kita tidak jemput,” kata Mohd Sumali lagi.

PAU2024 akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast