Mohd Sumali Reduan

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) bakal  ampil dengan kelainan daripada penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya, kata Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Tidak mahu ketinggalan, PAU2024 kali ini akan menganjurkan program eksplorasi Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dalam penganjuran perhimpunan agung tahunannya.

“Sempena PAU2024 ini, kita adakan Eksplorasi Kerjaya TVET di dua dewan yang berbeza bermula Jumaat jam 3 petang.

“Jadi meriah sebab dua dewan itu kita buat untuk TVET dan Dewan Merdeka masih lagi untuk persidangan PAU sehingga Sabtu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Sumali berkata demikian selepas meninjau raptai bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Program Eksplorasi Kerjaya TVET itu akan diadakan pada hari Jumaat hingga Ahad di dua dewan iaitu Dewan Tun Dr Ismail dan Tun Hussin Onn, WTCLKL.

Program bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ akan mengetengahkan konsep gerbang maklumat latihan dan pekerjaan.

Melalui penganjuran program ini, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat dan pengalaman berkaitan bidang-bidang TVET yang ditawarkan oleh institisi TVET serta potensi laluan kerjaya bidang tersebut.

Secara umumnya, program ini akan memfokuskan kepada empat elemen utama iaitu pameran teknologi dan kerjaya, pameran kisah kejayaan ikon TVET, talkshow ikon TVET dan konsultansi latihan dan kerjaya.

Program Eksplorasi Kerjaya TVET merupakan satu usaha berterusan dalam mengekalkan momentum kesedaran dan minat rakyat Malaysia terhadap bidang TVET.

Ia susulan daripada sambutan Hari TVET Negara 2024 dan pelancaran dasar TVET Negara 2030 yang merupakan satu langkah proaktif untuk menyebarluaskan potensi bidang TVET bagi memacu ekonomi dan kemajuan negara. – MalaysiaGazette