Asisten Komisioner Raub Selamat

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita yang disyaki menyamar sebagai hantu di Jalan Austin Heights Utama, Johor Bahru Johor malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, pihaknya menerima satu rakaman video tular di laman media sosial yang memaparkan kejadian seorang individu wanita menyamar sebagai hantu menyergah pemandu kenderaan di tepi jalan tersebut kira-kira jam 12.30 malam 27 Julai lalu.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat itu, Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Setia Indah berjaya mengesan dan menahan suspek.

“Semakan rekod jenayah terhadap suspek mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kes jenayah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dihukum denda RM1,000 pada 27 Jun 2018,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Raub, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan suspek ialah menendang kenderaan yang lalu di kawasan itu dengan tujuan untuk mengakibatkan kemalangan terhadap dirinya dan memeras wang daripada orang yang melanggarnya.

Jelasnya, semakan rekod perubatan mendapati, pada 2022 dan 2023 suspek telah dimasukkan ke zon kuning Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru disebabkan terlibat dalam kemalangan dan mengalami kemurungan.

Foto: PDRM

Kata beliau, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah.

Raub berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut dan wanita itu juga telah dibawa ke HSI pada hari ini untuk pemeriksaan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Jelasnya, kes juga boleh disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan kesalahan kepada pejalan kaki yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki yang disediakan.

Selain itu, ujarnya, kes juga boleh disiasat di bawah Peruntukan 23, Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukan tanggungjawab pejalan kaki untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mengganggu laluan kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau amaran. – MalaysiaGazette