Penganalisis politik, Dr Hussain Yusri Zawawi bercakap ketika menghadiri Program SKOP MG di Ibu Pejabat MalaysiaGazette di Kompleks Permaisuri Q, Cheras. Foto SADIQ SANI, 17 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah kerana ciri-ciri ketokohan yang ditunjukkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan itu sendiri.

Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Dr Hussain Yusri Zawawi beranggapan Mohd Azmawi atau dikenali Awie itu memang sudah ada ciri-ciri kepimpinan sejak dahulu lagi.

Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘Apa Impak Kemenangan Nenggiri’ yang mengulas mengenai faktor kemenangan Mohd Azmawi semalam.

“Beliau (Mohd Azmawi) sudah 13 tahun dalam politik dan pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada ahli Parlimen sebelum ini,” katanya.

Hussain Yusri menambah, dengan kemenangan BN juga akan dapat memperlihatkan semak dan imbang yang baik di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Sebelum ini ada satu kerusi daripada parti Amanah dan terkini Nenggiri oleh BN.

“Sudah pasti ia akan dapat membawa suasana yang berbeza tambahan di Kelantan ada macam-macam isu, sudah pasti di dalam DUN itu nanti akan diwarnai dengan pelbagai cadangan dan pandangan yang sedikit berbeza.

“Tidak seperti Terengganu yang tiada pembangkang, semua keputusan dirai sahaja,” ujarnya.

Penganalisis politik, Dr Hussain Yusri Zawawi bercakap ketika menghadiri Program SKOP MG di Ibu Pejabat MalaysiaGazette di Kompleks Permaisuri Q, Cheras. Foto SADIQ SANI, 17 OGOS 2024

Beliau juga mengakui ketokohan Mohd Azmawi tidak hanya di kawasan malah keterlibatannya dalam di media sosial memberikan kelebihan kepadanya.

“Beliau memanfaatkan setiap ruang media sosial dengan semua aktiviti dan kerja-kerja yang dilakukan selama ini.

“Ia sama seperti apa yang dilakukan oleh wakil rakyat UMNO di Melaka iaitu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyung, Datuk Mohd Helmy Abdul Halim.

“Rakyat sudah bijak menilai. Tidak hanya bersua muka malah pendekatan media sosial juga memainkan peranan yang cukup baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hussain Yusti berkata, strategi yang digunakan oleh BN turut meletakkan BN menguasai pilihan raya kecil berkenaan.

“Ketokohan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya juga tepat dan berjaya mengalih pandangan masyarakat kepada isu-isu nasional.

“Kerana itu saya katakan, kemenangan ini bukan di atas faktor parti semata-mata tetapi lebih kepada personaliti,” katanya.

PRK Nenggiri memperlihatkan BN menang dengan meraih 9,091 undi manakala calon Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail memperoleh 5,739 undi.

BN juga memperoleh majoriti undi sebanyak 3,352 mengatasi sebelum ini ketika PRU-15 hanya 810.

Peratusan BN juga meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus pada tahun lalu dengan jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 73.9 peratus.

PRK Nenggiri diadakan selepas parti Bersatu membuat pindaan kepada perlembagaan parti itu di mana melucutkan keahlian kepada mana-mana Ahli Parlimen mahupun ADUN yang menyokong pihak bertentangan parti mereka.

Pindaan itu dibuat selepas enam ahli Parlimen Bersatu termasuk dua dari Kelantan iaitu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menyatakan sokongan kepada perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalu calon tu kalah pulak pasti ade yg menganalisis calon yg bertanding tu calon tidak sesuai.. Senang sungguh

Comments are closed.