Polis menahan lapan lelaki yang melalukan provokasi di perlawanan Liga Super Perak FC dan JDT di Stadium Indera Mulia, Perak.

IPOH – Remaja lelaki 16 tahun ditahan selepas bertindak membaling botol ke arah anggota polis yang sedang bertugas pada perlawanan Liga Super, Perak FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di Stadium Indera Mulia di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tujuh lelaki berusia 19 hingga 32 tahun turut ditahan di lokasi sama selepas melakukan kekecohan serta provokasi mengancam ketenteraman di tempat awam.

“Kita mengesahkan berlaku pergaduhan antara penyokong termasuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam perlawanan bola Liga Super di Stafium Indera Mulia di sini.

“Siasatan ke atas tujuh suspek yang melakukan provokasi itu dilakukan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.

“Manakala bagi remaja lelaki yang bertindak membaling botol ke arah polis pula, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod lampau selain ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

“Buat masa ini, kita sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwa negeri bagi cadangan pertuduhan.

“Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan  orang awam agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast