PEKAN – Jasad orang kurang upaya (OKU) mental yang dilaporkan lemas sejak Rabu lalu ditemukan orang kampung malam tadi kira-kira 23 kilometer dari lokasi dia dilaporakan hilang.
Anak saudara mangsa, Muhammad Shazwan Abdul Musalleb, 31, berkata, mayat bapa saudaranya ditemukan jam 8 malam di kawasan Pulau Jawa dekat Pekan setelah operasi pencarian dilakukan selama tiga hari.
Jelasnya penemuan jasad , Mahadir Abdul Hamid, 49, menamatkan tanda tanya kehilangan anak bongsu daripada 10 adik-beradik itu.
”Alhamdulillah, hajat kami makbul jumpa juga jasadnya. Penemuan jasad Acu ini juga jadi satu asbab kami sekeluarga dapat berkumpul semua.
”Sudah lama kami tidak berkumpul, kali ini semua ada demi pakcik kami. Seluruh ahli keluarga sudah melakukkan yang terbaik ketika hayatnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Artikel berkaitan: Sepatutnya Acu hadir temu janji rawatan psikiatri hari ini – Shazwan
Tambahnya, keluarga mereka bersyukur kerana jasad ditemukan sempurna anggota badannya walaupun sudah empat hari berada dalam air.
Shazwan berkata, keluarga mangsa sepakat untuk menguruskan jenazah malam tadi juga.
Jenazah Acu disembahyangkan dan diimamkan oleh anak saudara Allahyarham, Mahadir dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kubang Lesong Kiambang, Ganchong di Pekan pada jam 12 tengah malam tadi. – MalaysiaGazette