KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua pihak menitikberatkan aspek keselamatan bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.
”Ahli bomba terkejar sana, terkejar sini, tak terkejar dia, dia bukan ‘Superman’.
”Kita nasihat semua hati-hatilah di kawasan di pedalaman, jangan mudah buang potong rokok, kena ambil akibat kalau kebakaran ini berlaku,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan masyarakat supaya mengendalikan perkakas elektrik dengan cara yang betul bagi mengelakkan kejadian kebakaran terutamanya di rumah.
”Saya ingin mengingatkan kepada semua supaya berwaspada dengan penggunaan barang elektrik, jangan guna secara berlebihan penjagaan plug elektrik.
”Sentiasa tutup suis apabila tidak digunakan dan kalau banyak sangat dalam satu suis akan mengakibatkan kebakaran,” titahnya.
Baginda bertitah demikian semasa menziarah mangsa kebakaran tiga rumah di Pinggiran Putra 4, Taman Kempadang Makmur di sini pada Khamis lalu.
Dalam kejadian 8.52 malam itu salah sebuah rumah hampir musnah dengan peratusan kebakaran 80 peratus, manakala peratusan kebakaran rumah kedua dan ketiga kira-kira 40 peratus.
Tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Hadir mengiringi baginda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Baginda sempat menyantuni ketiga-tiga keluarga mangsa nahas dan melihat sendiri tapak lokasi nahas kebakaran.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah mencadangkan sebuah balai bomba dibina di Tanjung Lumpur susulan kerap berlaku kebakaran di kawasan berkenaan.
”Sudah sampai masanya kita ada balai bomba yang sesuai. Tiap tahun kita ada kebakaran di Penor ini dan semakin hari semakin banyak penduduk.
”Pembangunan sedang giat dimaju di kawasan Tanjung Lumpur, kita harap dapat diusahakan kerajaan,” titahnya. – MalaysiaGazette