Petugas dari Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang membuat semburan kabus nyamuk Aedes yang menjadi punca kepada penyakit denggi di sebuah kawasan perumahan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-32 tahun 2024 atau bagi tempoh enam hari bermula 4 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama menurun kepada 2,278 berbanding 2,515 pada minggu sebelumnya.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 adalah sebanyak 90,533 kes berbanding 73,680 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

“Manakala terdapat 80 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 53 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, bilangan lokaliti hotspot jangkitan berkurang kepada 86 berbanding 95 pada minggu sebelulnya.

“Daripada 86 lokaliti yang dilaporkan, 67 lokaliti di Selangor, lima lokaliti di Perak, lima lokaliti di Negeri Sembilan, masing-masing tiga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah manakala dua di Kedah dan satu di Pulau Pinang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat satu kes chikungunya direkodkan dalam enam hari tersebut menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 64 kes.

Dalam pada itu Muhammad Radzi menasihatkan masyarakat supaya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.-MalaysiaGazette