Rangkaian restoran nasi kandar, Thaqwa (Malaysia) Sdn. Bhd setuju membayar RM221,773.20 kepada anak syarikat Astro Malaysia Holdings Bhd., Measat Broadcast Systems Sdn. Bhd. kerana menggunakan siaran tanpa kebenaran.

KUALA LUMPUR- Rangkaian restoran nasi kandar, Thaqwa (Malaysia) Sdn. Bhd setuju membayar RM221,773.20 kepada anak syarikat Astro Malaysia Holdings Bhd., Measat Broadcast Systems Sdn. Bhd. kerana menggunakan siaran tanpa kebenaran.

Penyelesaian itu dicapai menerusi kebenaran kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Astro dalam kenyataan hari ini berkata, Thaqwa telah menggunakan langganan di dua buah restoran miliknya ke lapan lagi restoran tanpa kebenaran.

Katanya, perkara itu dilakukan menerusi penggunaan kad pintar Astro, kotak dekoder dan peralatan-peralatan untuk mengakses serta memaparkan kandungan Astro.

Katanya, selain daripada bayaran pampasan, Thaqwa turut bersetuju untuk memastikan langganan Astro miliknya hanya digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro.

“Astro sangat komited dalam usaha memerangi cetak rompak digital kerana kami tahu betapa besar kesannya kepada industri media dan kreatif.

“Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil,” kata syarikat itu lagi.

Katanya, usaha itu penting untuk memastikan industri berkenaan terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baharu.

“Adalah satu kesalahan kepada mana-mana premis komersial di Malaysia untuk menayangkan penyiaran kepada orang awam jika pengisian tersebut diambil secara tidak sah.

“Ini termasuklah penyiaran rancangan Astro tanpa lesen komersial yang sahih,” katanya.

Kes melibatkan rangkaian restoran Thaqwa itu adalah salah satu daripada kebanyakan kes yang sedang dikendalikan oleh Astro bagi melindungi hak harta intelek miliknya.-MalaysiaGazette