KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad akan mula mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah berkait projek Jana Wibawa ya membabitkan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bermula 22 Ogos ini.
Difahamkan hakim mendengar perbicaraan itu sebelum ini, Rozina Ayob telah berpindah pada 15 Ogos lalu dan Rosli akan mengantikan beliau selepas ini.
Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Amirah Muhammad Ali memaklumkan ketua pendakwaan kes itu juga telah bertukar.
Pasukan pendakwaan akan diketuai oleh TPR Dr Ifa Sirrhu Samsudin.
Ketika sebutan kes hari ini, pendakwaan juga memohon masa untuk berbincang dengan ketua pendakwaan yang baharu berhubung kes tersebut memandangkan perlu meneliti beberapa dokumen sebelum prosiding bermula kembali.
Peguam mewakili Wan Saiful, Amer Hamzah Arshad tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan.
Ketika ini, Wan Saiful sedang didakwa meminta suapan daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. -MalaysiaGazette