Kredit FB Kesultanan Pahang

KUANTAN – Istana Pahang membuat satu laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.

Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pukul 10 malam tadi.

Menurut Amir Syaffiq, kenyataan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri itu sangat bahaya kerana ia secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan kepada institusi Raja-Raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat.

Tindakan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu dikatakan bukan sahaja menghasut malah menyentuh isu 3R sekali gus  menjejaskan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

”Dalam petikan ceramah tersebut, beliau (Muhyiddin) seolah-olah menyatakan Al-Sultan Abdullah gagal untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan kerana tidak melantik beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Dalam video berkenaan, Muhyiddin dilaporkan menyebut Yang di-Pertuan Agong ke-16, tidak menjemput beliau ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan mendakwa mendapat sokongan 115 ahli Parlimen.

“Jadi, kenyataan ini adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri sedangkan pelantikan dibuat dengan teliti serta mengikut perlembagaan,” katanya.

Susulan itu beliau membuat laporan bagi membolehkan tindakan adil, tegas dan tanpa kompromi dikenakan ke atas Muhyiddin.

Laporan polis itu dibuat dibuat selepas menonton satu rakaman video menerusi aplikasi YouTube yang dimuat naik oleh seorang pemilik akuan ketika berada di Istana Abdulaziz pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tengku Hassanal murka, mahu Muhyiddin dikenakan tindakan tegas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast