Suami, Mohd Yusof Mokhtar beredar selepas jenazah Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi di bawa keluar dari Unit Forensik Hospital Melaka, pada pukul 2.11 tengahari tadi. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2024

MELAKA – Jenazah Allayarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, guru wanita yang dibunuh secara kejam di Melaka telah dituntut ahli keluarganya di Unit Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, jenazah dibawa keluar dari hospital menaiki sebuah van berwarna hitam pada pukul 2.10 petang tadi.

Van yang membawa jenazah Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, beredar dari Unit Forensik Hospital Melaka pada jam 2.11 tengahari tadi. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2024

Difahamkan jenazah Istiqomah telah dimandi, dikafan serta disembahyangkan terlebih dahulu di hospital itu sebelum dibawa pulang ke Kampung Kubang, Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan hari ini.

Selepas van jenazah dibawa keluar dari hospital itu, kelihatan raut wajah suaminya, Moh Yusof Mokhtar seakan reda dengan pemergian isterinya.

Ahli keluarga kepada Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, tidak dapat menahan sedih selepas jenazah dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Melaka, tengahari tadi. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2024

Terdahulu, beberapa ahli keluarganya berpakaian hitam tiba di sini sekitar 11.30 pagi bersama Moh Yusof dan anak-anak mangsa namun mereka enggan menemui wakil media.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kesemua ahli keluarga wanita itu menerima baik keadaan jenazah yang tidak sempurna oleh Hospital Melaka.

Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan dan melakukan pencarian anggota badan Istiqomah sekiranya menemui petunjuk baharu.

Hari ini, peniaga mata wang asing dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh Istiqomah pada Disember tahun lalu.

Sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan jurubahasa, tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengaku faham dalam prosiding di hadapan Majistret, Dr Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari Chemor, Perak kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah melakukan pembunuhan terhadap mangsa yang berusia 33 tahun di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang  boleh dihukum gantung di sampai mati atau dipenjara minimum 30 dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan. – MalaysiaGazette