Penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke 19 (MAPPA XIX) 2024 di PICC, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 16 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Ketua Jabatan perkhidmatan awam bertanggungjawab melaporkan salah laku yang dilakukan dalam kalangan ‘anak buah’ untuk tindakan susulan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, semua peringkat penjawat awam perlu berani bersuara demi menangani isu berkaitan intergriti.

“CUEPACSpercaya dengan tertanam minda perubahan dan amalan nilai integriti yang tinggi akan mampu melonjakkan lagi mutu dan kualiti perkhidmatan awam pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, penjawat awam tidak bertoleransi dengan budaya negatif yang boleh dikaitkan dengan budaya kerja.

Yakin tidak semua kakitangan awam terpalit dengan amalan namun beliau setuju sekiranya tindakan tegas diambil terhadap yang bertanggungjawab.

“Amalan ‘kita jaga kita’ perlu dilihat dalam konteks yang positif untuk perkhidmatan awam. Ibarat pendekatan ‘carrot and stick’, mereka yang bersalah perlu diambil tindakan dan yang bertanggugjawab serta berdedikasi dalam tugas perlu diberikan ganjaran yang baik untuk menjadi contoh teladan buat yang lain-lain.

“Cuepacs juga yakin penjawat awam sentiasa berusaha untuk memaksima sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat atau kumpulan sasar,” tambah beliau.

Jelas beliau, reformasi dalam perkhidmatan awam merupakan suatu proses berterusan dalam mengangkat imej dan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Setiap penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan awam perlu mempunyai nilai-nilai yang baik dan mengamalkan budaya intergriti yang tinggi bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada negara dan rakyat boleh dirasai oleh kumpulan sasar seterusnya dapat meningkatkan tahap keyakinan kepada perkhidmatan awam,” ujarnya.-MalaysiaGazette