Suspek yang membunuh dengan kejam seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, tiba di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada 9.05 untuk didakwa, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2024

ALOR GAJAH – Pelabur mata wang asing Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, dituduh membunuh guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Alor Gajah Dr. Teoh Shu Yee kira-kira pukul 10.26 pagi hari ini.

Menurut pertuduhan, dia telah melakukan pembunuhan terhadap Istiqomah antara 26 Disember hingga 31 Disember di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dalam di sini.

Mohd Fadzly didakwa di bawah Seksen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebih 40 tahun serta 12 sebatan.

Ketika tuduhan dibacakan, Mohd. Fadzly mengakui memahami pertuduhan yang dibacakan.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon kepada mahkamah untuk tidak menawarkan sebarang jaminan diberikan kepada Mohd. Fadzly.

Pendakwaan kemudian memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan DNA dan bedah siasat.

Suspek yang didakwa membunuh Istiqomah Ahmad Rozi, 33, tiba di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada 9.05 untuk didakwa, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2024

Majistret Shu Yee membenarkan permohonan tersebut dan  menetapkan 22 Oktober ini  sebagai sebutan semua kes dan tarikh serahan laporan DNA dan bedah siasat mangsa.

Terdahulu,  suspek tiba Mahkamah Majistret pada pukul 9.05 pagi.

Suspek dibawa menggunakan kenderaan jenis pacuan empat roda dan dikawal ketat anggota polis bersenjata.

Beliau yang bertubuh kecil memakai baju biru, berseluar paras lutut dan berselipar, jalan menunduk ketika dibawa masuk ke dalam mahkamah.

Kira-kira 20 anggota keluarga suami Istiqomah dari Kelantan hadir di mahkamah dengan kebanyakan mereka memakai baju berwarna hitam.

Ada dalam kalangan ahli keluarga yang kelihatan sugul dan  mengalirkan air mata.

Suspek yang dituduh membunuh seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, tiba di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada 9.05 untuk didakwa, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2024

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini 31 Disember lalu.

Misteri identiti pemilik tubuh tersebut terjawab lapan bulan kemudian selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu.

Risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan Mohd Fadzly dan isteri.

Suspek lelaki yang juga bekas guru itu kemudian direman sejak 6 Ogos lalu sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 18 Ogos manakala isterinya dibebaskan selepas mendapati dia tidak terlibat dalam pembunuhan.

Penahanan suspek utama itu membawa kepada penemuan beberapa bahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai.-MalaysiaGazette