JAKARTA- Kementerian Kesihatan Indonesia mengetatkan saringan kesihatan terhadap warga negara asing termasuk tetamu negara yang memasuki republik itu.

Agensi berita ANTARA melaporkan, ia antara usaha negara berkenaan untuk mengekang penularan virus cacar monyet (Mpox).

“Kami telah meningkatkan pemantauan terutamanya di pintu-pintu masuk negara, selain meminta warga negara asing yang merupakan tetamu negara untuk menjawab senarai soalan yang telah ditetapkan,” kata Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Yudhi Pramono menerusi sidang media dalam talian pada Ahad.

Menurut beliau, set soalan itu merangkumi sejarah perubatan, aktiviti kontak dan destinasi terakhir pengembaraan.

Katanya, menerusi cara itu, kerajaan Indonesia akan memperolehi data dan sejarah pengunjung sebagai persiapan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Menurut Pramono, kawalan terhadap virus itu merupakan satu cabaran yang menyebabkan Indonesia terpaksa meningkatkan langkah berhati-hati.

Ini terutamanya apabila kes Mpox semakin meningkat tahun ini yang mana Congo, Afrika merekodkan 2,999 kes.

Jelas beliau, kes di negara-negara Afrika disebabkan Mpox clade 1b yang mana kebanyakannya tersebar menerusi kontak seksual.

Clade 1b juga katanya, mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi berbanding clade 2b.

Langkah pencegahan itu adalah bersandarkan pengumuman status darurat kesihatan global Mpox oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pada 14 Ogos lalu.

WHO bagaimanapun meminta supaya tiada sekatan dikenakan terhadap pengembara antara bangsa serta tiada keutamaan vaksinasi dilaksanakan terhadap pelancong asing, jelas beliau.

“Tempoh inkubasi maksimum adalah 34 hari (dari bermulanya pendedahan terhadap simpton), maka kami perlu lebih berhati-hati di semua pintu masuk negara,” katanya.

Berdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan bagi Januari-Ogos 2024, trend kes sahih Mpox di Indonesia direkodkan pada 14 kes manakala kes disyaki adalah 74.

Angka tersebut jauh lebih rendah berbanding 73 kes sahih dan 240 kes disyaki pada 2023.

“Kes-kes berkenaan datang daripada kumpulan clad IIb yang merekodkan kadar kematian yang rendah. Kami sedang menghalang clade 1b daripada memasuki Indonesia,” katanya.- AGENSI