KUANTAN – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengheret institusi diraja dalam ceramah politik merupakan tindakan tidak bermaruah.
Ia disifatkan sebagai terdesak semata-mata demi meraih undi semasa berkempen, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh.
Menurut beliau, perbuatan tersebut merupakan cubaan untuk mengelirukan rakyat itu disifatkan sebagai melampau had Rukun Negara.
Fuziah juga menyifatkan pembohongan itu secara tidak langsung menghina dan mempersoalkan kewibawaan institusi diraja di negara ini.
”Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang menyanggah secara tegas dan berasa amat kecewa dengan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
”Beliau telah secara terbuka mempertikai malah merendahkan wewenang dan keupayaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa baginda memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, Muhyiddin secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang boleh membawa kepadaperpecahan dalam negara.
”Sebagai rakyat yang mendukung teguh Perlembagaan Malaysia dan telah berikrar taat setia kepada Rukun Negara seharusnya tidak mempersoalkan lagi perkara ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Istana Pahang buat laporan polis terhadap Muhyiddin
Tengku Hassanal murka, mahu Muhyiddin dikenakan tindakan tegas
Muhyiddin tak patut heret Al-Sultan Abdullah untuk raih undi – Wan Rosdy
Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan , Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Manakala, Perkara 43(2) menetapkan pula Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
”Kami Rakyat Pahang menggesa Polis Diraja Malaysia agar mengambil tindakan segera dan tegas ke atas Muhyiddin.
”Tindakan tegas ini diharapkan menjadi pengajaran penting pada semua pihak agar tidak berulang. PKR Pahang akan menggerakkan jentera parti bagi membuat laporan polis terkait ucapan Muhyiddin supaya tiada lagi usaha yang dilakukan untuk mengganggu gugat institusi diraja serta keharmonian negara,” katanya. – MalaysiaGazette