PETALING JAYA – Seorang pekerja sambilan syarikat pengiklanan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini dengan dua tuduhan cubaan membunuh dua wanita di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah pada 9 Ogos lalu.
Bagaimanapun Mohammad Ferdaus Mashud, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim, Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Ferdaus pada 1.30 petang cuba membunuh Nurulain Azhar dan Shaliza Talib dengan mencederakan kedua-dua wanita itu menggunakan objek tajam sehingga menyebabkan kecederaan.
Oleh yang demikian, bapa lima anak itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili K. Rinisha Priyya memohon supaya mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam yang mewakilinya Mohammad Ferdaus, Kailash Sharma memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin.
Jelasnya, tertuduh perlu menyara lima anaknya hasil perkahwinan dengan bekas isteri dan perlu menanggung perbelanjaan di rumah.
“Dalam kes ini pihak kami membawa dua orang yang boleh menjadi penjamin iaitu bekas isteri serta adik kandung OKT (Orang Kena Tuduh). OKT tidak ada risiko untuk melarikan diri kerana bekerja sendiri untuk tampung perbelanjaan rumah.
“Jadi, saya bagi pihaknya mohon jaminan dibenarkan,” katanya.
Hakim kemudian menetapkan RM15,000 sebagai jumlah jaminan terhadap tertuduh.
Dalam masa yang sama, mahkamah melarang Ferdaus menganggu saksi pendakwaan, mengarahkannya melaporkan diri ke balai polis terdekat sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsanya sehingga kes selesai.
Sementara itu, hakim menetapkan 23 September ini sebagai tarikh pengurusan kes.
Baru-baru ini media melaporkan, tertuduh menyerang dua wanita di kawasan Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran Sekolah Rendah Agama (SRA) yang terletak di Kelana Jaya.
Ketika kejadian, tertuduh menikam seorang wanita berusia 26 tahun di dalam tandas surau dan mencederakan guru besar wanita berusia 52 tahun ketika cuba menyelamatkan mangsa terlibat.
Beliau yang menggunakan pisau bagaimanapun sempat melarikan diri dipercayai menaiki kenderaan jenis Audi dan kemudian bersembunyi di rumah rakannya namun berjaya diberkas polis.
Semakan polis juga mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan jenayah membabitkan samun, mencuri dan curi kenderaan sejak 2014. – MalaysiaGazette