PASIR GUDANG – Penantian keluarga untuk menuntut jenazah arwah Istiqomah Ahmad Rozi sejak minggu lalu berakhir apabila mereka dibenarkan menuntut jasadnya di Hospital Melaka hari ini.
Suaminya, Mohd Yusof Mokhtar, 35, mengakui berat hati untuk ‘bertemu’ isterinya dalam keadaan tidak sempurna selepas dibunuh dan diperlakukan dengan kejam.
Namun bapa kepada tiga anak itu reda, lega dan bersyukur akhirnya dapat menuntut jenazah isterinya itu.
“Alhmdulillah, penantian saya berakhir setelah lapan bulan tak putus-putus ikhtiar mencarinya di merata lokasi.
“Walaupun dapat berita yang menyedihkan ini, kami sekeluarga reda dengan ketentuanNya. Setidak-tidaknya, ada juga kubur untuk saya dan anak-anak serta keluarga untuk ziarahi nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd Yusof bersama-sama anak, Ibu dan bapa mertua serta ahli keluarganya bertolak ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pada pukul 8 pagi tadi bagi urusan menuntut jenazah isterinya.
Istiqomah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, itu, dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja sejak 26 Disember lalu.
Pada 6 Januari lalu, mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Melaka kira-kira pukul 2 petang.
Siasatan awal disyaki mangsa dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.
12 Ogos lalu, polis mengesahkan mayat berkenaan adalah Istiqomah yang dilaporkan hilang pada 27 Disember lalu.
Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun ditahan polis di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
Hari ini, suspek lelaki berusia 37 tahun itu dituduh di Mahkamah Majistret Melaka untuk didakwa di bawah 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek itu merupakan kenalan lama Istiqomah ketika melanjutkan pengajian di sebuah maktab perguruan.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof memberitahu, jenazah isteri akan terus dibawa pulang ke Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.
“Insya-Allah, saya akan bawa balik ke Kelantan untuk dikebumikan. Jika sempat hari ini, kita akan kebumi hari ini juga, jika tidak, kita akan buat keesokan paginya.
“Untuk lihat keadaan jenazah, sejujurnya saya tak sanggup, mungkin arwah pun tak nak saya lihat dia dalam kedaan seperti itu. Sebagai suami, saya reda dan ikhlas lepaskan arwah pergi, moga syahid buat bidadari syurgaku,” ujarnya.
Sementara itu, ibu mangsa, Saliha Ya, 58, mendoakan semua urusan berjalan lancar sehingga selesai upacara pengkebumian di Kelantan.
“Saya mendoakan tuntutan jenazah lancar dan kami juga sudah membuat pelbagai persiapan di Pasir Mas, Kelantan bagi tujuan pengebumian jenazah,” katanya.
Saliha berkata, biarpun masih terkilan dengan kejadian menimpa arwah namun dia dan keluarganya reda dan mendoakan kekuatan bagi menantu, suami dan cucunya.
“Saya mimpi arwah seperti pulang ke rumah namun tidak lama. Sekurang-kurangnya ia mampu mengubati rasa rindu terhadapnya,” katanya.- MalaysiaGazette