ALOR GAJAH – Suspek kes pembunuhan guru sekolah rendah, Istiqomah Ahmad Rozi tiba di Mahkamah Majistret di sini pagi ini.
Suspek yang dibawa menggunakan kenderaan jenis pacuan empat roda dan dikawal ketat anggota polis bersenjata tiba pada pukul 9.05 pagi.
Beliau yang bertubuh kecil memakai baju biru, berseluar paras lutut dan berselipar jalan menunduk ketika dibawa masuk ke dalam mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang di sini pada 31 Disember lalu.
Anggota tubuh badan manusia tesebut terjawab apabila disahkan milik Istiqomah.
Ia disahkan berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu yang mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.
Suspek lelaki yang juga bekas guru itu kemudian direman sejak 6 Ogos lalu sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 18
Ogos ini.
Penahanan suspek utama itu membawa kepada penemuan beberapa bahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai. – MalaysiaGazette