KUALA LUMPUR – Keganasan rumah tangga (domestic violence) dipercayai menjadi punca suspek warga Rohingya bertindak membunuh ahli keluarganya di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, selain itu terdapat faktor lain mempengaruhi suspek berusia 43 tahun itu, antaranya positif dadah.
“Siasatan yang dijalankan, kita dapati mungkin faktor kerana keluarga gelandangan, daif, tekanan perasaan serta dadah kerana kos beli barang itu mahal untuk suspek.
“Sebelum ini ada saksi mengatakan mereka tinggal di bawah jambatan dan atas faktor yang tidak dapat kita pastikan mereka pindah ke bangunan itu, seminggu sebelum kejadian ini.
“Semakan setakat ini boleh kita rumuskan bahawa tiada melibatkan sebarang jenayah terancang atau bersiri,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada awam.
Tambah Adzli, suspek dipercayai melakukan pembunuhan tersebut pada 18 Ogos lalu dan bapa kepada tiga anak itu dikenakan reman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Petang semalam, polis menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim.
Suspek diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini, pada pukul 9.05 malam semalam bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat, namun trauma. – MalaysiaGazette