Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap kepada wartawan ketika sidang media Majlis Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta yang dimeterai antara Malaysia Rapid Transit System (MRT) dengan Coronade Properties Sdn Bhd, di Menara I&P 1, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap Kementerian Kewangan (MOF) mempertimbangkan meluluskan beberapa inisiatif dan projek berkaitan pengangkutan awam, pada pembentangan Belanjawan 2025, tidak lama lagi.

Dalam masa yang sama Menterinya, Anthony Loke Siew Fook turut berharap kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang.

“Saya harap inisiatif ini dapat diteruskan supaya dapat memudahkan pengguna-pengguna di Lembah Klang khususnya
mendapatkan (mengguna) perkhidmatan pengangkutan awam dengan murah iaitu RM50 sebulan dan inisiatif ini sudah tentu kita pohon diteruskan ke tahun depan.

“Kita bangga kerana melihat penggunanya semakin ramai, sekarang mencecah 200,000 sebulan dan pengguna rel di Lembah Klang mencecah 900,000 secara purata setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Anthony menyaksikan Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta yang dimeterai antara Malaysia Rapid Transit System (MRT) dengan Coronade Propeties Sdn Bhd.

Terdahulu Anthony berkata, peruntukan inisiatif pas bulanan tersebut ditingkatkan daripada RM100 juta kepada RM200 juta.

Menurut beliau, sistem pengangkutan awam di Lembah Klang masih memerlukan penambahbaikan kerana masih berdepan masalah kesesakan jalan raya. – MalaysiaGazette