KUALA LUMPUR – Satu memorandum akan dibawa kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan persetujuan berhubung pindaan-pindaan yang dicadangkan kepada Akta Profesion Undang-undang 1976 [Akta 166].

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, sekiranya dipersetujui oleh Jemaah Menteri, pindaan-pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen Oktober nanti yang mana ia akan memberi manfaat kepada hampir 23,000 pengamal undang-undang di negara ini.

“Majlis Peguam juga telah membentangkan cadangan penubuhan Persatuan Peguam-Peguam Antara Negara-Negara Anggota ASEAN (Inter ASEAN Lawyer’s Association).

“Perbincangan lanjut juga telah diadakan mengenai hala tuju penggubalan suatu akta baharu berkaitan dengan bantuan guaman yang akan mengambil kira aspek pembelaan awam bagi kes-kes jenayah yang sedang dikendalikan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) melalui pembentangan dari Jabatan Bantuan Guaman.

“Kerajaan Madani berpandangan bahawa Majlis Peguam Malaysia harus diberi ruang untuk menentukan halatuju sendiri yang jelas dalam menjaga hal ehwal profesion undang-undang termasuk urusan pentadbiran dan kebajikan ahlinya,” katanya.

Terdahulu menurut kenyataan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Majlis Peguam Malaysia pada Isnin.

Katanya, pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Menteri, (Undang-Undang dan Reformasi Institusi – UURI) UURI M.Kulasegaran, Ketua Pengarah Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Zamri Misman, Peguam Cara Negara II dan pegawai-pegawai kanan dari BHEUU,Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan banyak lagi.

Tambah beliau, pertemuan itu bertujuan bagi membincangkan beberapa penambahbaikan yang perlu terhadap Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166] dan langkah pengukuhan perkhidmatan guaman dalam menempuh cabaran dunia masa depan.

“Pertemuan tersebut telah membincangkan beberapa perkara dalam Akta 166 yang memerlukan beberapa penambahbaikan merangkumi empat perkara iaitu, perkongsian guaman liabiliti terhad, pusat bantuan guaman Majlis Peguam, pindaan kepada seksyen 77 mengenai kuasa Majlis Peguam dengan kelulusan Peguam Negara dan pindaan kepada seksyen 11, 15, serta 36 mengenai latihan dalam kamar (pupillage).

“Selain itu, Majlis Peguam juga telah membentangkan cadangan penubuhan Persatuan Peguam-Peguam Antara Negara-Negara Anggota ASEAN (Inter ASEAN Lawyer’s Association).

“Perbincangan lanjut juga telah diadakan mengenai hala tuju penggubalan suatu akta baharu berkaitan dengan bantuan guaman yang akan mengambil kira aspek pembelaan awam bagi kes-kes jenayah yang sedang dikendalikan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) melalui pembentangan dari Jabatan Bantuan Guaman,” jelasnya. – MalaysiaGazette