Datuk Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Gesaan Setiausaha DAP Pahang, Lee Chin Chen agar gelaran Tan Sri terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ditarik balik dibalas secara sinikal.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad menyindir pemimpin DAP itu seolah-olah mula menunjukkan minat terhadap gelaran yang dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu.

“Baguslah. Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dianugerahkan gelaran Tan Sri, parti awak memang memperlekeh mereka yang mendapat gelaran kebesaran daripada Raja-Raja Melayu. Pakai songkok yang menjadi budaya Melayu pun tak mahu.

“Malah orang tua parti awak mencela Tan Sri Muhyiddin apabila beliau kata beliau adalah Malay First. Seolahnya buruk sangat jadi Melayu.

“Baru sekarang awak nak bermegah dengan gelaran Datuk dan Tan Sri yang pada zaman dahulu adalah gelaran yang diberikan kepada pahlawan dan panglima Melayu oleh Raja-Raja Melayu. Pepatah Melayu kata jangan jadi kaduk naik junjung. Itu pun kalau awak faham,” sindirnya.

Chin Chen yang merupakan Timbalan Speaker Pahang sebelum itu menggesa agar gelaran ‘Tan Sri’ terhadap Muhyiddin ditarik balik.

Beliau berkata, ia kerana kenyataan Pengerusi PN itu didakwa memperkecilkan peranan sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah mengelirukan rakyat Malaysia.

“Gelaran ‘Tan Sri’ yang dikurniakan kepada Muhyiddin perlu dibatalkan berkuat kuasa serta-merta. Pembelaan Muhyiddin terhadap ucapannya adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai,” kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP.

Media melaprokan, Istana Pahang telah membuat laporan polis terhadap Muhyiddin berhubung kenyataannya yang menyentuh isu agama, raja, dan kaum (3R) semasa kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, laporan itu dibuat selepas menonton rakaman video di platform YouTube yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun.

Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin dianggap berbahaya kerana boleh menghasut rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.