KUANTAN – Dua kes maut membabitkan insiden kemalangan ketika menyiram pokok bunga di sini berlaku dalam tempoh kurang sebulan.
Kejadian itu merisaukan pengguna jalan raya dan perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berwajib, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang.
Menurutnya, insiden terbaharu berlaku semalam di Jalan Bypass berhampiran dengan Persimpangan Cengkih di sini telah menyebabkan seorang penunggang motosikal maut akibat terlanggar dengan lori yang sedang menyiram pokok di laluan laju.
”Pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan kontraktor yang terbabit perlu mengambil tanggungjawab terhadap kedua-dua kes kematian dan juga segera mengambil langkah untuk meningkatkan langkah keselamatan untuk menjaga keselamatan para pengguna jalan raya.
”Saya telah memohon Datuk Bandar untuk segerakan meningkatkan langkah-langkah keselamatan kontraktor yang sedang menjalankan tugas dengan hanya memasang satu bendera merah dan juga satu papan tanda di bahagian belakang lori adalah tidak cukup,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, Chun Kuang mencadangkan agar papan tanda yang lebih jelas, kon keselamatan, flag man dan sebagainya diperlukan sebagai langkah keselamatan sebelum melakukan kerja-kerja penyiraman pokok bunga.
Tambahnya, Pusat Khidmat DUN Semambu sedia membantu pihak keluarga mangsa untuk membuat tuntutan terhadap MBK.
Terdahulu insiden yang serupa berlaku pada 7 Ogos lalu turut mengorbankan satu nyawa ketika kerja-kerja penyiraman dilakukan.
Dua insiden tersebut disahkan Ketua Polis Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi hari ini. – MalaysiaGazette