NEW YORK- General Motors (GM) membuang lebih 1,000 pekerja dalam bahagian perisian dan perkhidmatan di seluruh dunia.
Agensi berita Xinhua yang memetik laporan The Wall Street Journal memberitahu, tindakan yang diambil syarikat berkenaan adalah sebahagian daripada langkah mengundur susulan pengambilan pekerja berlebihan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lapornya, pembuangan pekerja itu melibatkan kira-kira 600 kakitangan di ibu pejabat syarikat itu di Detroit manakala jumlah sebenar masih belum diketahui.
Untuk rekod, GM menggaji ribuan pekerja dalam bidang perisian dan pelbagai sektor teknologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengeluar kenderaan global itu berhasrat untuk membangunkan kenderaan pintar yang boleh dikemas kini sama seperti telefon pintar, katanya.
“Langkah pembuangan pekerja itu dibuat selepas dua bulan GM melantik bekas eksekutif Apple untuk menerajui jabatan yang memfokus kepada aspek digital perniagaannya seperti penghubung kenderaan, infotainmen dan sistem bantuan pemandu,” kata laporan itu.
Jun lalu, GM menaikkan pangkat dua bekas eksekutif Apple, Baris Cetinok dan Dave Richardson untuk menerajui perniagaan perisian dan perkhidmatannya.
Kedua-dua lelaki tersebut diambil bekerja tahun lepas di bawah Mike Abbot, seorang lagi eksekutif Apple yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Perisian GM pada Mac.
Mike menyatakan alasan peletakan jawatannya adalah disebabkan masalah kesihatan.
Menurut sumber, keputusan untuk membuang pekerja diambil selepas Cetinok dan Richardson menyemak semula jabatan perisian GM dan memutuskan untuk menyatukan operasi kedua-dua jabatan terbabit.- Xinhua