KUALA LUMPUR – Harbin Institute of Technology (HIT) Kampus Weihai, Shandong, China secara rasminya telah diluluskan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sebagai pusat ujian Malaysian University English Test (MUET) yang pertama di China.

Kelulusan ini diberikan setelah HIT lulus tahap pemeriksaan spesifikasi pusat ujian MUET oleh MPM.

Inisiatif ini juga selari dengan peningkatan jumlah pelajar China yang sedang menuntut di Malaysia lebih 40,000 orang pada tahun 2023.

Surat kelulusan sebagai pusat ujian MUET telah diserahkan oleh Adnan kepada HIT Kampus Weihai, Shandong, yang diwakili oleh Prof. Dr. Hongliang Qian, Timbalan Presiden HIT, Kampus Weihai.

Inisiatif pembukaan pusat MUET di HIT Kampus Weihai, hasil kerjasama antara MPM dengan Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB) dan rakan strategik MPM di Malaysia, iaitu Malaysia Edu-Cultural Association (MECA).

MUET yang diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1999 akan menjadi salah satu pilihan ujian kemahiran berbahasa Inggeris di peringkat antarabangsa untuk diduduki oleh pelajar warganegara China yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.

Pengarah EMB, Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif berkata, pemilihan HIT Kampus Weihai sebagai pusat ujian MUET di China amat bertepatan dengan kedudukannya antara 10 universiti terbaik yang dikelaskan dalam

Projek 211, Projek 985 dan Projek C9 League oleh Kerajaan China ke arah pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara itu.

Menurutnya, HIT Kampus Weihai mempunyai kedudukan yang strategik, berikutan wilayah Shandong yang mencatatkan bilangan permohonan visa pelajar tertinggi dari China yang belajar di Malaysia pada tahun 2023, hampir 3,000 permohonan. – MalaysiaGazette