PEKAN – Keazaman tinggi seorang bekas pesakit kanser limfoma menyempurnakan Ekspedisi Kayak Solo merentas Sungai Pahang sejauh 475 kilometer dikagumi ramai.
Pelbagai cabaran baik daripada segi mental mahu pun fizikal yang perlu diharungi dalam usaha memberi inspirasi kepada mereka yang senasib dengannya agar tidak berputus asa meneruskan kehidupan.
“Kanser bukan tiket untuk mati” kata Mohd Zaki Yamani Azman.
Lelaki berusia 35 tahun atau lebih mesra disapa Zaki Bijak itu ketika ditemui di destinasi terakhir kayuhannya di Waterfront Pekan hari ini.
Anak jati Pahang itu memulakan ekspedisi kayuhan solonya merentas Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dari Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut pada 8 Ogos lalu.
“Cabarannya banyak. Daripada segi cuaca panas, ribut. Ada juga cabaran mengayuh di jeram. Selain itu, tidur pun merata asal ada. Makan pun saya tak kisah di mana-mana.
“Tapi objektifnya tercapai. Saya fokus sampaikan mesej kepada pejuang kanser sebenarnya. Kebetulan pula sempena bulan kemerdekaan, saya buat objektif sekali. Harapan supaya teman-teman seperjuangan saya bebas daripada kanser, insya-Allah,”jelasnya.
Cabaran terakhir terpaksa diharungi Zaki Bijak adalah ketika situasi air pasang di Sungai Pahang yang memaksanya menghubungi pihak bomba bagi membantu menarik kayaknya menongkah arus di kawasan Pulau Keladi di sini ke destinasi terakhir.
Meskipun begitu, anak bongsu daripada lima beradik itu tetap ceria menyempurnakan kayuhannya yang berakhir sekitar pukul 1.15 petang tadi.
Zaki Bijak sebelum ini didiagnos dengan kanser limfoma pada 2014 namun difahamkan telah bebas sepenuhnya daripada barah itu sejak lima bulan lalu.
Dia yang berasal dari Kampung Bukit Rang Dua, Pulau Tawar, Jerantut itu terpaksa berulang alik ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan sepanjang 10 tahun menghidap penyakit itu. – MalaysiaGazette