ANTARA peserta Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPMa Siri Tiga di Pusat Kepimpinan Pelajar MARA (Puskep) Lenggong, Perak, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memandang serius usaha penghayatan budaya berintegriti dalam melahirkan lebih ramai ‘role-model’ dalam kalangan graduan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dengan menyemai asas nilai diri yang kukuh ke arah membenci rasuah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri berkata, budaya berintegriti itu bagi memastikan setiap graduan IPMA mempunyai nilai dan prinsip berpegang teguh kepada kejujuran serta amalan bermoral tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri ketika berucap pada program Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPMa Siri Tiga di Pusat Kepimpinan Pelajar MARA (Puskep) Lenggong, Perak, baru-baru ini.

“Integriti ini bermaksud kita melakukan sesuatu perkara yang betul dengan betul walaupun pada waktu tiada siapa yang melihat kita melakukannya.

“Maka, daripada takrifan tersebut, mudah bagi kita hadamkan bahawa integriti adalah merupakan elemen yang wajib yang perlu dihayati oleh generasi muda sebagai bakal pemimpin negara,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPMa Siri Tiga di Pusat Kepimpinan Pelajar MARA (Puskep) Lenggong, Perak, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong dan Ketua Unit Integriti MARA, Shuhaimi Man.

Program itu dijalankan secara kerjasama antara Unit Integriti (UI) MARA dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai antara usaha mengukuhkan integriti dalam kalangan generasi muda IPMa.

Mengulas mengenai penganjuran program itu, Razlan berkata, pelaksanaan Kem AMAR IPMa menggambarkan betapa pentingnya golongan pelajar diberikan pendedahan awal dalam meningkatkan kefahaman kepada cabaran jenayah rasuah sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang lebih mencabar.

“Program seumpama ini boleh menyediakan platform kepada anak muda untuk mengekspresi pandangan dalam membanteras rasuah seterusnya dapat menyalur maklumat yang betul berhubung advokasi anti rasuah.

“Tanpa kerjasama semua pihak, amat sukar untuk MARA merealisasikan harapan ini apatah lagi MARA melahirkan lebih 60,000 pelajar setiap tahun meliputi pelajar lepasan pelbagai institusi pendidikan tinggi di dalam dan luar negara,” katanya.

Kem IPMa AMAR kali ketiga itu adalah siri yang terakhir untuk tahun ini dan dijayakan bersama rakan strategik SPRM iaitu Telekom Malaysia dan Al-Ikhsan.

Ia disertai seramai 99 pimpinan AMAR daripada 17 institusi Pendidikan MARA antaranya Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman (KKTM Kemaman); KKTM Kuantan; KKTM Pasir Mas dan KKTM Balik Pulau.

Turut serta, wakil AMAR daripada Kolej MARA Kulim; Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahya Ahmad (IKM TSYA); IKM Lumut; IKM Beseri; IKM Sik; KM Sungai Petani; IKM Besut dan IKM Seberang Perai Utara.

Tidak ketinggalan, tiga wakil AMAR Kolej Poly-Tech (KPTM) MARA iaitu KPTM Alor Setar; KPTM Ipoh dan KPTM Kuantan serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL); Malaysian Spanish Institute (MSI) dan UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RSMP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast