Kolej UNITI Port Dickson dan Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan dan Kosmetika Majelis Ulama Indonesia (LPPOM-MUI) hari ini secara rasmi menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan latihan berkaitan halal.

JAKARTA – Kolej UNITI Port Dickson dan Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan dan Kosmetika Majelis Ulama Indonesia
(LPPOM-MUI) hari ini secara rasmi menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan latihan berkaitan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran serta pengalaman sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global.

Katanya, Kolej UNITI Port Dickson yang merupakan IPT pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian halal secara formal, Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013 akan berkongsi pengalaman dalam pensijilan halal Malaysia dan
pembangunan talen industri halal.

“Sebagai pihak yang mempunyai reputasi unggul dan berpengalaman luas dalam pensijilan halal Indonesia, LPPOM-MUI pula bakal menawarkan kepakaran dalam bidang penyelidikan berkaitan halal dan perundingan yang berkaitan,” katanya
semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak di Gedung Halal Global, Bogor, Jawa Barat hari ini.

Pada majlis itu, LPPOM-MUI diwakili Ketua Pengarah, Ir. Muti Arintawati dan Pengarah Kerjasama Halal dan Perkhidmatan Audit, Dr. Ir. Muslich manakala Amir Hamzah dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC), Muhamad
Elyas Harun mewakili Kolej UNITI Port Dickson.

Memorandum persefahaman tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak meneroka pelbagai program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar serta penempatan pelajar Kolej UNITI Port Dickson untuk menjalani latihan industri dalam bidang berkaitan.

Amir Hamzah berkata, pemilihan Kolej UNITI Port Dickson yang menerima penarafan MyQuest terbilang Berdaya Saing dan 6 bintang (2016/2017) sebagai rakan strategik merupakan satu pengiktirafan memandangkan IPT terbabit merupakan Penyedia
Latihan Halal (PLH) yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sejak 2013, Kolej UNITI telah melahirkan ribuan graduan bidang halal. UHAC juga sehingga ke sehingga ke hari ini sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tambah Amir Hamzah, sebagai sebuah IPTS milikan penuh Bumiputera yang berdaya maju dan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kualiti dan kecemerlangan institusi
serta kemenjadian mahasiswa, kolaborasi Kolej UNITI dan LPPOM ini merupakan titik permulaan pengembangan agenda pengantarabangsaan IPT berkenaan untuk bangkit lebih kuat selepas cabaran pandemik Covid-19.

“Ini merupakan langkah susulan selepas kerjasama strategik bersama Institut Pertanian Bogor (IPB) University yang dimeterai pada 20 Ogos 2022 lalu. IPB University melalui Pusat Sains Halal yang mempunyai kepakaran yang meluas dalam penyelidikan dan pengauditan pensijilan halal Indonesia juga merupakan tulang
belakang penubuhan LPPOM-MUI pada 1989,” katanya.

Sejak lebih tiga dekad lalu, LPPOM-MUI merupakan agensi tunggal yang diberikan tanggungjawab dan amanah oleh pemerintah Indonesia untuk mengeluarkan pensijilan halal di republik berkenaan sebelum tanggungjawabnya diambil alih oleh
Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal.

Dalam pada itu, Muti berkata, beliau berkeyakinan sinergi kedua-dua pihak akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri halal tempatan di Malaysia dan Indonesia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“LPPOM-MUI mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam pensijilan halal Indonesia dan kami berkeyakinan sinergi pintar bersama Kolej UNITI Port Dickson dan UHAC ini akan memberi impak kepada industri halal global.

“Kita juga berharap dapat membantu meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia untuk menyambung pengajian dalam bidang halal di Kolej
UNITI,” katanya.

Sebelum ini, terdapat lebih 20 pelajar Indonesia telah menamatkan pengajian dan juga masih mengikuti program Diploma Pengurusan Industri Halal di Kolej UNITI Port Dickson. – MalaysiaGazette