KUANTAN – Projek Kuantan Maritime Hub dijangka menarik minat golongan pelabur untuk membangunkan kilang dan kemudahan untuk industri maritim.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu ia akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.
“Bagi negeri Pahang kita mengalu-alukan kehadiran pelabur untuk datang ke negeri Pahang kerana ia merupakan projek swasta yang melibatkan lebih RM2 billion ini.
“Lebih utama sebanyak 17,000 peluang pekerjaan dapat dijanakan menerusi projek ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Kuantan Maritime Hub di Sungai Karang, di sini, hari ini.
Jelasnya, Kuantan Maritime Hub bukan sekadar sebuah projek pembangunan tetapi ia adalah simbol kemajuan dan harapan masa depan yang dijangka siap pada 2034 nanti.
Projek tersebut sekali gus akan menjadi pusat utama dalam bidang maritim, selain menyokong pelbagai aktiviti perdagangan dan industri yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi tempatan dan negara, ujarnya.
“Ia akan mewujudkan satu ekosistem yang mantap dan kukuh yang boleh menjadikan Pahang sebagai satu kuasa baharu dalam industri Maritim negara.
“Ekosistem yang akan terbentuk ini dapat memperkukuhkan kedudukan Pahang sebagai sebuah negeri yang mempunyai industri yang berimpak tinggi dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Projek bertaraf dunia itu melibatkan beberapa kompenan pembangunan seperti pusat pembinaan dan penyelenggaraan kapal, pusat pembinaan struktur khusus untuk minyak dan gas, industri latihan teknikal, pusat industri maritim serta pembangunan hartanah bercampur. – MalaysiaGazette