Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Penggunaan dron tanpa kelulusan di lokasi-lokasi sambutan dan perarakan di seluruh negara sempena persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2024 bermula dari 26 hingga 31 Ogos ini, adalah dilarang.

Perkara itu dimaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan di laman media sosial Facebooknya.

Menurut CAAM, larangan itu bagi memastikan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan selamat termasuk mengelakkan risiko kemalangan terhadap pesawat udara pihak berkuasa.

Ia juga bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam.

“Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang menjalankan latihan dan pertunjukan penerbangan formasi rendah di beberapa lokasi sambutan.

“Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs),” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Unit UAS CAAM di e-mel [email protected] atau layari laman sesawang www.caam.gov.my. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast