PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini akan mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada prosiding pendengaran kes penyelewengan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib membuat permohonan itu kerana ketika perbicaraan 1MDB sedang berlangsung, Collin membuat pendedahan beliau dan peguam kanan 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan pernah berkhidmat di sebuah firma undang-undang bersama.
Jasmine Loo merupakan salah seorang saksi pendakwaan bagi kes 1MDB.
Dalam mengetepikan permohonan Najib, Hakim Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, sejak Jasmine Loo meninggalkan firma berkenaan pada Disember 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengan wanita itu sama ada secara profesional atau peribadi.
Jasmine Loo telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang sedang berlangsung, sebagai saksi ke-50.
Najib, 70, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.
Pada 30 Mei lalu, pendakwaan akhirnya menutup kes selepas perbicaraan mengambil masa selama enam tahun dengan prosiding berlangsung selama 235 hari. – MalaysiaGazette