Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Lebuhraya Pasir Gudang menghala bandar raya Johor Bahru, semalam

PASIR GUDANG – Seorang penunggang maut manakala seorang lagi parah selepas dua motosikal bergesel di Kilometer 20 Lebuh Raya Pasir Gudang menghala bandar raya ini di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira pada pukul 1 pagi, mangsa yang maut berusia manakala penunggang sebuah lagi motosikal yang juga berusia cedera parah.

Kedua-dua mangsa berusia 18 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC warna merah ketika dalam perjalanan dari Pasir Gudang ke Johor Bahru bergesel dengan sebuah lagi motosikal Yamaha 135LC warna putih.

“Tiba di lokasi kejadian, motosikal manga bergesel dengan sebuah lagi motosikal di lorong kanan menyebabkan kedua-dua penunggang terbabas dan jatuh di atas jalan raya.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berwarna merah maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal berwarna putih parah di kaki serta tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua penunggang motosikal dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan berbahaya.

Pada masa sama, Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

“Sentiasalah memandu kenderaan dalam keadaan berwaspada kepada persekitaran dan bertanggungjawab,” katanya.- MalaysiaGazette