Datuk Seri Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berani mendedahkan senarai 115 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau sewaktu menjadi ketua kerajaan kerana didakwa takut hilang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yakin Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan berani mendedahkan senarai itu kerana bakal menjejaskan kredibilitinya.

Ini kerana, kata bekas Ketua Menteri Sabah itu, Muhyiddin sebenarnya tidak memiliki sokongan seramai 115 ahli Parlimen seperti yang didakwa sebaliknya hanya membuat andaian sendiri.

“Jika Muhyiddin cuba dedahkan nama 115 ahli Parlimen tersebut, beliau akan hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin apabila sebilangan ahli Parlimen tidak mahu mengesahkan.

“Maka pihak PN akan tolak beliau dari jawatan Pengerusi PN untuk diganti dengan seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bijak,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut mencabar Muhyiddin mendedahkan senarai nama 115 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau sewaktu menjadi ketua kerajaan ketika itu.

Menurut Mohd. Puad, kenyataan yang dibuat Muhyiddin perlu berlandaskan fakta dan tidak hanya membuat tuduhan kosong tanpa mengemukakan bukti.

Sebelum ini, tular rakaman video ucapan Muhyiddin yang didakwa menyebut Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah tidak menjemput beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen ketika itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast