Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyaksikan perjanjian jual beli ruang letak kereta yang dimeterai antara Malaysia Rapid Transit System (MRT) dengan Coronade Properties Sdn Bhd, di Menara I&P 1, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura mencapai 83 peratus pada akhir Julai.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau optimis projek tersebut dapat disiapkan mengikut jangkaan sebelum ini iaitu pada 1 Januari 2027.

Beliau mengesahkan tiada tambahan kos bagi projek tersebut.

“Akses kepada pengendali operasi RTS Link iaitu RTS Operations Systems Sdn Bhd (RTSO), demi pemasangan sistem dijangka dapat dilaksanakan pada akhir tahun ini.

“Penyiapan infrastruktur rel ini juga akan membolehkan RTSO memulakan kerja-kerja pemasangan sistem yang merangkumi Trackwork, Rolling Stock, Signalling Systems dan Power Supply & Distribution.

“Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar juga sedang berjalan seperti dijadualkan.

“Pembinaan substruktur bangunan telah siap dan kerja-kerja pembinaan bangunan sedang giat dilaksanakan.

“Akses kepada agensi-agensi yang akan beroperasi di CIQ demi memasang peralatan dan sistem dijangka dapat dimulakan pada bulan Ogos 2025,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menyaksikan Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta yang dimeterai antara Malaysia Rapid Transit System  (MRT) dengan Coronade Propeties Sdn Bhd.

RTS Link adalah projek bernilai RM10 bilion membabitkan sistem LRT moden yang menjangkau empat kilometer dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

Apabila ia siap, perjalanan dari Johor Bahru ke Singapura dipendekkan kepada 15 minit.

Mengulas mengenai perjanjian yang dimeterai pada hari ini, Anthony berkata, Coronade Properties akan menyediakan 781 unit tempat letak kereta dan motosikal tambahan khusus untuk penumpang RTS Link di Coronation Square.

Ia terletak 400 meter dari Stesen Bukit Chagar.

“Ini merupakan langkah penting dalam mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan, memastikan keperluan tempat letak kereta bagi penumpang RTS Link dipenuhi.

“Sebuah jejantas pejalan kaki yang menghubungkan terus Coronation Square ke Kompleks CIQ juga akan dibina oleh Coronade Properties, agar kemudahan ini dapat dinikmati oleh para pengguna RTS Link kelak.

“Kesemua kemudahan yang dibina untuk melengkapkan infrastruktur perkhidmatan RTS Link akan direka bentuk dengan teliti untuk memastikan penumpang-penumpang dapat menikmati pengalaman perjalanan yang lancar dari Malaysia ke Singapura, dan sebaliknya,” jelasnya. – MalaysiaGazette