Azman didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Muar hari ini atas empat pertuduhan kes bunuh serta bakar rumah hingga mengorbankan Ibu bapa dan anak saudaranya.

MUAR – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat melibatkan kes bunuh dan bakar rumah hingga mengorbankan ibu bapa dan anak saudaranya di Kampung Paya Redan, Pagoh minggu lalu.

Azman Mohamed Nor, 48, berhadapan tiga pertuduhan membabitkan kejadian bunuh tiga sekeluarga tersebut dan satu lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan parah.

Tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes terbabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa membunuh bapanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, ibunya, Ara Abd Hamid, 76, dan anak saudara Noradriana Nor Hasyim, 11.

Kejadian itu berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi, di rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan pada 9 Ogos lalu.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, perlu disebat tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu serta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh berhadapan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lagi anak saudaranya, 14.

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut dengan menggunakan sebatang kayu dan semua kejadian ini juga berlaku pada tarikh, tempat dan waktu sama.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Hukuman bagi kesalahan berkenaan ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan tersebut, mahkamah menetapkan 12 September ini untuk fakta dan hukuman.- MalaysiaGazette