Kejadian perahu karam yang membawa belasan pelajar sekolah di Sungai Kayan, Lundu dekat Kuching, Sarawak pagi tadi.

KUALA LUMPUR- Dua pelajar sekolah dikhuatiri hilang selepas perahu yang dinaiki mereka karam di Sungai Kayan, Lundu, dekat Kuching, Sarawak kira-kira 6 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.33 pagi.

Menurutnya, dalam laporan awal yang diterima pihak bomba, tiga pelajar dilaporkan hilang tetapi seorang berjaya ditemui dengan selamat.

“Pencarian awal sudah dilancarkan oleh penduduk dan berjaya menemui seorang mangsa iaitu Abraham Nyoeng, 16 dalam keadaan selamat.

“Anggota bomba kini meneruskan pencarian bersama dengan penduduk kampung untuk mengesan dua lagi pelajar perempuan iaitu Alsma Jithil, 14 dan Helena Fasha Petrus, 17,” katanya.

Dalam pada itu, laporan berita RTM yang memetik Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lundu, Muhamad Hazijul Abdul Mujun berkata, perahu terbabit dipercayai membawa 13 pelajar sekolah.

Katanya, seramai lapan anggota bomba dengan sebuah bot digerakkan untuk mencari mangsa yang masih hilang.

Operasi mengesan kini diperluas ke 2 kilometer persegi dengan bantuan penduduk kampung Slampit.- MalaysiaGazette