Foto: Twitter

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat Malaysia Alirlines (MAS) yang dalam penerbangan dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur  melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Alice Springs awal pagi ini.

Penerbangan MH128 yang menggunakan pesawat Airbus, A330-300 itu berlepas  dari Melbourne kira-kira jam 11.20 malam waktu tempatan dan menurut laman sesawang penjejakan penerbangan, pesawat terbabit dilencongkan ke Alice Springs awal pagi Selasa, lapor SBS News.
SBS News yang memetik seorang penumpang tidak mahu dikenali berkata, kapten penerbangan mengumumkan enjin pesawat ‘stall’ (pegun) dan pesawat perlu membuang bahan bakar selama dua jam sebelum mendarat di lapangan terbang tersebut.
Penumpang tersebut memberitahu, pesawat itu mendarat pada jam 4.35 pagi waktu tempatan.
Malaysia Airlines dan pengendali Lapangan Terbang Alice Springs, Airport Development Group mengesahkan pesawat terbabit telah dilencongkan tetapi tidak menyatakan ia akibat enjin pesawat pegun.
Malaysia Airlines menyatakan pesawat tersebut mengalami isu teknikal manakala Airport Development Group menyatakan pesawat itu melakukan pendaratan cemas berikutan isu enjin.

Seorang jurucakap Malaysia Airlines mempertikaikan penggunakaan perkataan ‘pendaratan cemas’.

“Pesawat tersebut selamat mendarat dan semua penumpang dikeluarkan menurut protokol penerbangan domestik,” kata Pengurus Besar Eksekutif Airport Development Group, Rob Porter dalam kenyataan, hari ini.

Porter berkata, kebanyakan penumpang meneruskan perjalanan hari ini manakala sebahagian kecil akan bermalam di Alice Springs dan menyambung perjalanan esok.

Sementara itu, penumpang terbabit berkata, juruterbang memaklumkan lapangan terbang tersebut tidak mempunyai kemudahan pengendalian kargo dan penumpang tidak mempunyai akses kepada bagasi mereka yang didaftar masuk.

Malaysia Airline dalam satu kenyataan memohon maaf berkata: “Kami kesal terhadap kesulitan yang disebabkan kelewatan pemunggahan bagasi,”

“Kini kami sedang berusaha dengan pengendali lapangan terbang untuk mengajukan isu kekangan peralatan untuk pesawat berbadan besar dan mempercepatkan proses ini,”, katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast