KUALA LUMPUR – Pemuda MCA berharap siasatan secara adil dan telus dapat dilakukan berhubung insiden kesilapan meletakkan gambar tentera China untuk poster pertandingan bersempena Bulan Kebangsaan seperti yang tular di media sosial.
Naib Ketua Pemuda MCA, Tan Yang Pang berkata, pihaknya juga berharap pihak berkuasa dapat memaklumkan hasil siasatan kes itu kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, kesilapan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana memperlihatkan sikap tidak sensitif pihak tertentu terutama ketika negara di ambang sambutan kemerdekaan sekali gus mengecewakan rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik.
“Sekiranya pihak berkuasa boleh menyaman atau mengambil tindakan terhadap mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang secara salah, maka tindakan sama juga wajar dikenakan bagi kes ini yang semakin tular di media sosial sehingga berupaya mencetuskan ketidakharmonian di kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah poster pertandingan buku skrap anjuran sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang yang didakwa menggunakan gambar propaganda tentera China yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Abdul Said Hussain berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan sudah menjalankan siasatan dalaman berhubung tindakan guru berkenaan.
Abdul Said turut memohon maaf atas kecuaian guru terbabit yang tidak peka dengan menggunakan gambar templat yang diambil daripada internet sebagai bahan promosi untuk pertandingan berkenaan.
Dalam pada itu, Yang Pang turut menyeru semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan dan menjadikan insiden tersebut sebagai iktibar supaya tidak berulang. – MalaysiaGazette