Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Bukan sahaja Tengku Mahkota Pahang yang murka, tetapi rakyat Pahang turut tergores hati dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berkata, ia kerana kenyataan Muhyiddin terhadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh disifatkan sebagai berniat jahat dan cuba menghasut rakyat untuk hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan Muhyiddin juga telah menimbulkan suasana yang tidak harmoni serta menggores perasaan kami yang sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Sultan Pahang serta institusi diraja negeri ini.

 Artikel berkaitan: Muhyiddin tak patut heret Al-Sultan Abdullah untuk raih undi – Wan Rosdy

Tengku Hassanal murka, mahu Muhyiddin dikenakan tindakan tegas

“Oleh yang demikian, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyeru seluruh rakyat di negara in agar terus menzahirkan taat setia dan mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu serta berpegang teguh prinsip Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Rosdy  menambah, UMNO Pahang berpandangan, tindakan Muhyiddin itu satu tindakan yang sangat biadab, menghina institusi diraja serta mempertikaikan kewibawaan Tuanku dalam menyelesaikan kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, terutamanya dalam isu pelantikan perdana menteri ketika itu.

Sehubungan itu, UMNO Pahang menyokong penuh titah Tengku Hassanal yang mahu Polis Diraja Malaysia mengambil Tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu. – MalaysiaGazette